Monday, October 10, 2011

Diamku tak bererti aku membenarkan

Bukan juga mengiyakan apa saja yang kau lakukan

Bisingku tidak bererti aku menyalahkan

Bukan juga melukakan

Tapi kerana aku amat menyayangimu

Maka aku cuba sedaya yang termampu

Menarikmu bersama mencari keredhaan-Nya

Di bumi yg terbentang luas ini

Kerana sayangku kepadamu

Maka aku cuba... dan terus mencuba!

Aku tak mahu berjalan mencari cahaya seorang diri

Dan membiarkan kau tergapai-gapai dalam kegelapan

Andai aku jumpa jalan

Tak akan kubiar kau sesat mencari jalan pulang

Aku akan! Itu janjiku!

Tapi hari ini hatiku benar-benar terguris

Terguris dengan tindakanmu

Terguris dengan janji palsumu untuk bersama-samaku mencari cahaya

Dan hati ini tiba-tiba timbul rasa benci

Benci kepada manusia yang menarik kau kembali ke jalan yang gelap

Hampir saja hari ini aku mungkiri janjiku itu

Namun tiba-tiba aku sedar

Andai ku biar janjiku itu terkubur bersama amarahku

Aku sama saja sepertimu

Andai ku biar janjiku itu terkubur bersama amarahku

Pasti si durjana bersorak gembira atas kelemahan jiwa mujahid ini

Andai ku biar janjiku itu terkubur bersama amarahku

Pasti, pasti pemilik cahaya itu akan bertanya kepadaku

Mengapa aku biarkan kau dalam kegelapan?

Aku tak mahu berjumpa dengan pemilik cahaya itu keseorangan..

Tak mahu..!

Kerana aku sayang kamu..

Maka aku akan cuba..dan terus mencuba!

Walau sekeping hatiku ini akan terluka teruk

Aku akan terus mencuba

Kerana aku sayang kamu, sahabatku!

Tuesday, June 14, 2011

SPECIAL FOR THE SPECIAL ONE

Slogan di Mulut, Hakikatnya Bagaimana?

Pernah dengar slogan ini?

Allah ghoyatuna (Allah tujuan kami)

Ar-Rasul qudwatuna (Rasul teladan kami)

Al-Quran dusturna (Al-Quran panduan kami)

Al-Jihad sabiiluna (Jihad jalan kami)

Al-Mautu fi sabilillah asma amanina (syahid cita tertinggi kami)

Inilah slogan yang sering kita laungkan tanda ke'izzahan seorang muslim. Tapi praktikalnya bagaimana? Hanya diri sendiri mampu merungkai persoalan ini berdasarkan Iman dan Taqwa seseorang.

01.Kita mengatakan bahawa Allah matlamat kami. Jadi, setiap kali Doa Iftitah, kita perbaharui perjanjian kita dengan Allah:

"inna solati wa nusuki wa mahyaya wa mamaati lillahi rabbil 'aalamin"

Maksudnya: Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya pada Allah

Tetapi hakikatnya? Jawablah dengan hati yang jujur. Mengapa sering kita lewatkan solat apabila bertemu dengan kepentingan peribadi sedangkan kita tahu bahawa solat adalah penghubung antara kita dengan Allah?

Mengapa nikmat pancaindera sering kita gunakan untuk tujuan yang sia-sia dan untuk tujuan maksiat? Mengapa mata ini sering memandang pada perkara yang haram? Mengapa telinga ini sering mendengar perkara haram dan lagha? Mengapa lidah ini sering berkata dusta, mengumpat dan berkata yang sia-sia? Mengapa lidah ini sentiasa berat untuk berzikir pada Allah? Mengapa diri ini sering mengeluh apabila ditimpa kesusahan sedangkan kita tahu bahawa ujian itu dapat menghapuskan dosa lalu dan tingkatkan darjat orang yang beriman?

Mengapa kita tidak redha dengan ketentuan yang diberikan-Nya seolah-olah kita tidak yakin dengan qada' dan qadar Allah?

Mengapa diri ini mengaku ikhlas beramal, tetapi masih suka akan pujian manusia?

MENGAPA DAN MENGAPA?

Tanya pada diri dan rungkaikan persoalan itu dengan amal. Sesungguhnya, Allah telah berfirman dlm surah al-Imran ayat 31:

"Jika kamu mengasihi Allah, ikutlah aku (ikut perintah-Nya, tinggalkan larangan-Nya, cari redhaNya).

Terkesan dengan kata-kata Ibn Ato'illah dalam kitab Hikam:

"iza arodta an ta'rifa qodroka 'indahu, fanzur fi maza yuqimuka".

Maksudnya: Jika kamu mahu tahu martabatmu di sisi Allah, maka lihatlah sejauh mana kamu letakkan Allah dalam hatimu".

Sejauh mana kita mampu letakkan kebesaran Allah dalam diri, itulah dia martabat kita di sisi Allah

Contohnya: Kita tahu bahawa Allah Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Menghitung, tapi kita tetap buat juga maksiat pada Allah, seolah-olah kita tak endahkan Allah, BERERTI KITA JUGA TIDAK DIPEDULIKAN ALLAH..

Jom teliti syair Rabiatul Adawiah:

Engkau derhaka,

Tapi mengaku cinta pada-Nya,

Inilah keanehan zaman,

Jika benar engkau cinta,

Tentulah kau mentaati-Nya,

Kerana selalu,

PENCINTA AKAN TAAT PADA KEKASIHNYA.

02. Kita mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w teladan kami. Kami cinta Nabi. Kami sayang Nabi. Tapi hakikatnya bagaimana?

Adakah kita telah khatam sirah hidup Nabi Muhammad s.a.w?

Bagaimana kita boleh mengaku cinta Nabi sedangkan sirah hidup Baginda, banyak yang kita tak tahu?

Jika cinta itu ada, pasti banyak yang kita tahu tentang dirinya kerana tak kenal, maka tak cinta.

Apakah benar kita cinta Nabi dengan sebenar-benar cinta? Berapa kali kita selawat pada Nabi dalam sehari? Apakah kita mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian?

Ibrahim Adham ada mengatakan bahawa salah satu tanda hati mati ialah:

"Kamu mengaku cintakan Rasulullah, tapi kamu abaikan sunnah Baginda".

Mengapa sering sahaja kita berasa malu untuk melakukan kebaikan kerana takut dipandang 'lain' oleh teman-teman sekeliling?

Malu utk membaca al-Quran di tempat awam, malu utk berpakaian sunnah, malu jika dikatakan 'waro'? Sedangkan Allah telah berfirman:

"Janganlah kamu berasa hina dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamu orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang beriman." [al-Imran:139]

Sesungguhnya, para sahabat Nabi dahulu amat bangga dengan agama ini. Saidina Umar tidak malu dan tidak takut untuk mengumumkan ke-Islamannya, Tsumamah bin Usal tidak malu untuk bertalbiah dengan kuat di hadapan Quraisy Mekah sewaktu mengerjakan umrah, dan banyak lagi kisah para sahabat Baginda yang dapat kita ambil iktibar.

Ingatlah, Mustafa Masyhur ada mengatakan: "Kita perlu berasa 'izzah (mulia) dengan Islam kerana ia dapat mendorong kita beramal dan berusaha untuk mendalami Islam".

Jadi, usah takut, usah malu: SAMA-SAMA KITA BAWA IMEJ ISLAM PADA SAHABAT-SAHABAT SEKELILING. Biarlah mereka pandang kita pelik kerana bukanlah pandangan manusia itu yang kita cari, tapi pandangan Allah itu lebih utama.

03. Kita mengatakan bahawa al-Quran panduan kami. Tapi hakikatnya?

Berapa banyak masa kita peruntukkan untuk membaca al-Quran dalam sehari berbanding masa kita bersama laptop? Apakah kita beramal dengan hukum hakam di dalamnya?

Apakah kita kasih pada al-Quran sebagaimana kita sayangkan laptop? Mengapa kita lebih suka tidur selepas Subuh berbanding membaca al-Quran? Mengapa kita lebih suka mendengar lagu berbanding mendengar kalam Allah? Mengapa kita lebih suka mendendangkan lagu yang melalaikan hati berbanding mentadabbur al-Quran yang dapat mendekatkan diri dengan Allah?

Apakah kita beriman dengan kesuluruhan isi al-Quran? Di mana al-Quran di hati kita? Tepuk dada, tanya Iman. Andai sebelum ini kita sering mengabaikan al-Quran, ayuh mula berdamping dengannya.

Andai selama ini kita sering tinggalkan al-Quran di atas meja tanpa terusik, jom kita tadabbur maknanya.

04. Kita sering mengatakan jihad jalan kami. Imam Ibn Qayyim mengatakan bahawa jihad itu ialah jihad melawan nafsu, jihad untuk beramal dengan apa yang diketahui, dan jihad bersabar di atas bebanan amalan tersebut.

Tetapi hakikatnya bagaimana? Di tahap manakah jihad kita?? Mengapa kita sering utamakan nafsu berbanding tuntutan agama? Mengapa kita masih susah untuk jihad melawan nafsu tidur untuk bangun qiamullail? Masih terasa berat untuk solat berjema'ah di surau? Malas untuk korbankan masa dan tenaga pergi ke majlis ilmu?

Apa sebenarnya jihad yang mampu kita lakukan demi meraih Syurga Allah? Kita tidak mampu menderma banyak wang untuk Islam, kita tidak mampu pergi berjuang di Palestin melawan tentera Israel. Kita tak mampu bangun qiam setiap malam.

Jadi, apa yang kita mampu sebenarnya? Muhasabah diri, koreksi peribadi. Sesungguhnya, jihad ini memerlukan semangat muslim pejuang, bukan sekadar duduk sahaja tanpa turun berdakwah dan amar ma'ruf nahi mungkar.

Firman Allah:

"Berangkatlah kamu baik dgn rasa ringan mahupun rasa berat, dan berjihadlah dengan hartamu dan jiwamu di jalan Allah." [at-Taubah:41]

Jadi, ayuh persiapkan diri dan minda untuk berdepan dengan segala mehnah dalam perjuangan kerana sesungguhnya, dalam jihad ini, seorang Mukmin akan berdepan dengan lima dugaan iaitu

* Orang mukmin yang benci padanya
* Orang munafiq yang benci padanya
* Orang kafir yang mahu memeranginya
* Syaitan yang hendak menyesatkannya
* Nafsu yang sentiasa bertarung dengannya.

05. Kita sering mengatakan mati syahid cita-cita tertinggi kami. Tapi hakikatnya bagaimana?

Apa amalan kita untuk memburu syahid tersebut? Apakah kita sudah menjadikan jihad sebagai komitmen harian kita dan syahid sebagai cita-cita tertinggi kita?

Semua punya cita-cita seperti Khalid al-Walid. Dia ingin jika suatu saat nanti Allah memanggilnya, dia bukan berada di atas tempat tidur , tetapi dia ingin mati ketika sedang menjalankan amanah dakwah.

Tetapi kita, berkorban masa sekejap untuk jalankan amar ma'ruf nahi mungkar pun kita tidak sanggup kerana fikirkan study dan exam.

Bagaimana agaknya kita ingin memasang cita setinggi ini? Ia umpama seperti orang yang bercita-cita untuk miliki sebuah istana besar, tetapi dia tidak pernah berusaha dan bekerja untuk mendapatkanya. Apakah dia dapat mencapai impiannya itu?

Jadi bangkitlah sahabatku pendokong Islam. Bukan sekadar berdakwah dalam facebook dan blog, malah kita turun padang menyaksikan sendiri bagaimana tenatnya umat Islam sekarang, terutama kondisi sahabat-sahabat kita di kampus dengan masalah sosial, tidak tutup aurat, dating, mencuri dan banyak lagi.

Syeikh Amjad Azzahrawi ada menyebut bahawa: "Dunia hari ini sedang terbakar, wajib ke atas setiap muslim untuk mencurahkan air walau sedikitpun untuk memadamkan kebakaran tersebut."

Sahabatku pendokong Islam,

Penerus mata rantai perjuangan Rasulullah,

Sesungguhnya jalan yang dipilih ini,

Bukanlah setenang air di kali,

Malah penuh dengan onak dan duri,

Tambah dengan virus dunia,

Kadang tersadung, kadang berdarah,

Sering juga kita terluka,

Malah pernah bersilang kata,

Tapi usah biarkan ia menodai ukhuwwah kita,

Malah jadikanlah ia sebagai wasilah,

Untuk mematangkan diri kita,

Sahabatku pendokong Islam,

Di sebalik kepayahan pasti terselit kesenangan,

Di sebalik musibah pasti ada hikmah,

Walau perjuangan ini tidak dibentangkan hamparan mewah,

Namun bukan keindahan sementara ini yang kita impikan,

Tapi nun jauh di sana yang ABADI nan HAKIKI.

Ya Allah,

Berikan kami kecekalan, ketabahan dan keyakinan,

Seperti mana para sahabat dan awliya',

Di kala kami diuji dalam tarbiyyah-Mu,

Sesungguhnya syahid yang kami impi,

Syurga kami idami,

Dan redha-Mu terhadap kami,

Janganlah Kau biarkan kami,

Dibelenggu dan dicengkam nafsu kami sendiri.

DI MANA BUMI DIPIJAK, DI SITU ISLAM DIJUNJUNG..

ALLAHUAKBAR!!

-Artikel Iluvislam.com

Wednesday, May 25, 2011

10 Pembasuh Dosa & Penawar Hati

Hassan al-Basri r.a.berkata: "Ketika saya berkeliling di jalan-jalan kota Bashrah dan di pasarnya dengan seorang pemuda ahli ibadah, tiba-tiba saya melihat seorang tabib yang sedang duduk di atas kerusi."

Dia dikelilingi oleh laki-laki, perempuan dan anak-anak.

Di tangan mereka masing-masing terdapat gelas yang berisi air. Mereka meminta petua dan ubat untuk penyakitnya.

Kemudian, pemuda yang bersamaku maju ke depan tabib, lalu dia berkata:

"Wahai tabib, apakah kamu punya ubat yang mampu membersihkan dosa dan menyembuhkan penyakit hati? "

Kemudian, si tabib itu menjelaskan:

"Ambillah sepuluh macam ramuan:

  1. Ambillah akar pohon fakir bersama akar-akar pohon tawaddhu' (kerendahan hati),
  2. Campurkanlah padanya tumbuhan taubat,
  3. Taruhlah ke dalam bekas keredhaan,
  4. Tumbuklah dengan penumbuk qana'ah,
  5. Masukkan dalam kuali taqwa,
  6. Lalu tuangkanlah padanya air malu,
  7. Didihkanlah dengan api mahabbah,
  8. Tuangkanlah ke dalam gelas syukur,
  9. Kemudian kipaslah dengan kipas harapan,
  10. Lalu minum dengan sudu pujian.

Sesungguhnya jika kamu mengerjakan hal itu, maka akan menjadi ubat bagimu dari semua penyakit dan bencana di dunia dan di akhirat." - Dipetik daripada Kitab Nashaihul 'Ibad, Imam Nawawi.

- Artikel iluvislam.com

Tuesday, May 24, 2011

Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah telah menulis beberapa faedah menundukkan pandangan dalam kitabnya berjudul Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatul Mustaqin. Tercantum pula dalam kitab Fiqh An-Nadhr karangan Al-Mundziri. Berikut beberapa faedah menundukkan pandangan yang dikutip dari kitab-kitab tesebut :

  1. Menundukkan pandangan beerti menunaikan perintah Allah swt. Tiada manusia yang berbahagia di dunia dan akhirat kecuali dengan menunaikan perintah Allah swt.
  2. Menundukkan pandangan akan menguatkan hati dan membahagiakannya. Sebagaimana halnya membiarkan pandangan menjadi liar akan melemahkan hati dan membuatnya gelisah.
  3. Menundukkan pandangan membuat hati selalu bermesraan dengan Allah swt. Sebaliknya, membiarkan pandangan menjadi liar akan memporak-perandakan hati dan fikiran.
  4. Menundukkan pandangan menimbulkan kecerdasan yang luar biasa. Sesiapa sahaja yang meramaikan zahirnya dengan mengikuti sunnah dan meramaikan batinnya dengan sentiasamuraqabah (mendekatkan diri kepada Allah swt), menundukkan pandangan dari perkara-perkara yang diharamkan, menahan nafsunya dari syahwat, serta membiasakan hanya memakan harta yang halal, maka tidak ada yang menyalahkannya.
  5. Menundukkan pandangan akan melahirkan hati yang gagah dan berani hingga membuat seseorang memiliki wawasan luas dan hujjah yang kuat.
  6. Menundukkan pandangan akan melepaskan hati dari tawanan syahwat. Sebagaimana kerap dikatakan "orang yang tertawan oleh pandangan matanya, maka itulah sebenarnya tawanan".
  7. Menundukkan pandangan akan membentengi seseorang dari pintu syaitan.
  8. Menundukkan pandangan akan menguatkan akal dan menambah kecerdasan.
  9. Menundukkan pandangan akan menyelamatkan hati dari mabuk syahwat.
  10. Menundukkan panadangan akan mengosongkan hati dari berbagai kemaksiatan.
  11. Menundukkan pandangan merupakan mahar (mas kahwin) bagi bidadari.
  12. Melepaskan pandangan akan memberi beban kesukaran bagi badan dan kedua mata.
  13. Menundukkan pandangan akan membantu seseorang dalam menuntut ilmu

Wahai kaum muslimin, tundukkanlah pandangan matamu. Sedarilah bahawa membiarkan pandangan mata menjadi liar merupakan pintu pertama pembuka jalan yang kelak merosakkan tirai kehormatanmu.

-Dipetik dari buku Rangkaian Kisah-Kisah Bidadari-

Monday, April 11, 2011

Kenapa Aku Masih Solo
www.iluvislam.com
oleh: afdhal87
editor: deynarashid

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk keseberang. Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat.

Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa lewat solat. Allah itu Maha Mendengar.

Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.

Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu. Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa pelbagai karenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.

Demikian jua perkahwinan...
Ia baik sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki kea lam berumahtangga.

Bukankah dangan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu. Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu.

Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya.

Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.

Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi.

Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada.

Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat. Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai.

Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.

Tuesday, April 5, 2011

aku bukan yang terbaik.....

hari berganti hari,ku rasakan semakin kerdilnya diri ini...semakin banyak pula dosa yang ku lakukan...lemahnya diri ini kerana tidak mampu menegur kawan-kawanku yang melakukan kesilapan...sakit mata ini,lagi sakit hati ini...sedih sekali...

Ya ALLAH...bukalah mata dan hati-hati mereka untuk melihat indahnya Islam...alangkah seronoknya jika mereka mengetahuinya...
Ya Allah...berilah aku kekuatan untuk bersama-sama mereka ke arah kebaikan...

sesungguhnya aku menyayangi sahabat-sahabatku...
aku menyayangi kawan-kawanku...
aku menyayangi pensyarah-pensyarahku...
bantulah aku Ya Allah...
Kuatkanlah imanku,tambahkanlah kefahamanku...
berilah aku kekuatan...